|
Kenyataan Akhbar IRF - Isu Hukuman Sebat
Kenyataan Akhbar IRF || 5 Mac 2010 Kami mengikuti berita berkenaan laporan polis yang telah dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor terhadap Sisters in Islam (SIS) mengenai isu kontroversi yang melibatkan hukuman sebat ke atas wanita Islam di bawah undang-undang jenayah Syariah dengan penuh kegusaran. Kami ingin menyatakan pendirian kami bahawa tindakan yang sedemikian oleh pihak yang berkuasa dalam hal ehwal agama Islam hanya akan menimbulkan imej yang buruk terhadap Islam, agama yang memberi ruang yang luas kepada perdebatan yang sihat dan kewujudan perbezaan pendapat. Tindakan provokatif yang diperlihatkan dengan tujuan menghalang sebarang usaha agar isu ini dibicarakan secara terbuka adalah manifestasi yang amat jelas akan kebenaran anggapan bahawa ‘kuasa dan keangkuhan paksi kebenaran’. Dalam hal ini, isu berkenaan hukuman sebat ke atas wanita Islam di bawah undang-undang jenayah Syari’ah masih lagi sedang diperdebatkan oleh masyarakat madani ditambah pula dengan kes Kartika yang masih belum diselesaikan, maka tentulah amat sekali mengejutkan apabila tindakan hukuman sebat tersebut dilaksanakan secara diam-diam. Wajib diperakukan secara jelas lagi terang sesungguhnya mesej suci yang dibawa oleh Islam adalah keadilan dan persamaan hak. Perlaksanaan undang-undang jenayah Syari’ah hanyalah dapat difahami dengan mendalam dan diterima baik sekiranya seseorang memahami asas utama prinsip undang-undang Islam iaitu tiada taklif (beban) yang diletakkan ke atas seseorang selagi hak-hak asasi ke atasnya tidak dipenuhi. Dan antara hak-hak yang tidak boleh dicabuli ke atas setiap masyarakat Islam – Islam mahupun bukan Islam, lelaki mahupun wanita - adalah hak perlindungan oleh masyarakat secara menyeluruh. Sebelum undang-undang Islam dilaksanakan ke atas umat Islam, adalah menjadi tanggungjawab utama kerajaan memastikan kehidupan setiap lapisan masyarakat yang sama rata setaraf dengan hasil sumber yang sedia ada dikongsi bersama, kemakmuran serta keselamatan sosial, dan persekitaran yang kondusif untuk perkembangan intelektual dan kerohanian. Daripada melihat Islam kononnya akan dimertabatkan menerusi pelaksanaan undang-undang Syari’ah, kerajaan sewajarnya memberi fokus terhadap intipati utama ajaran Islam yang menekankan keadilan dan persamaan hak sosial di kalangan masyarakat. Undang-undang Islam bukanlah perlu difahami secara teks semata-mata tetapi konteks yang tersirat di dalamnya juga hendaklah difahami secara mendalam, termasuklah aspek sosio-politik. Sehingga ke saat ini, hukuman Syari’ah hampir tidak akan dapat dilaksanakan dalam masyarakat moden masa kini yang jelas penuh dengan ketidakadilan dan ketidak- samarataan. Ketidak-adilan akan jelas kelihatan sekiranya hukuman ini dilaksanakan terutama sekali ke atas golongan wanita dan miskin tanpa tindakan yang serupa ke atas mereka yang berharta, golongan yang berkuasa ataupun para penindas. Hukuman Syari’ah sebenarnya berfungsi sebagai penghalang dengan tujuan mewujudkan kesedaran di dalam minda para penganutnya agar tidak melakukan perbuatan-perbuatan yang menjurus kepada perlaksanaan hukuman tersebut. Kami, Islamic Renaissance Front, berharap agar pihak yang berkuasa dan pemerintah tidak akan mengganggap suara-suara yang mengkritik hukuman sebat sebagai musuh agama dan menggesa agar menggantung sementara perlaksanaan hukuman sebat terhadap wanita Islam dengan serta merta. Kami mengajak pihak yang berkuasa untuk mengatur ruang bagi sesi dialog dan perdebatan sesama komuniti Islam, di antara para ulama’, cendekiawan, ahli akademik, dan juga kumpulan masyarakat madani kerana isu hukuman sebat ini bukan hanya berkaitan dengan pemahaman terhadap teks semata-mata tetapi juga berkenaan dengan konteks yang mendasarinya. Dr Ahmad Farouk Musa Pengerusi Islamic Renaissance Front English Version: http://al-fikrah.net/News/article/sid=896.html |
Content received from: al-Fikrah.net, http://arkib.al-fikrah.net