Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & ManhajnyaPerbincangan sekitar persoalan Qur'an, Hadis, Kisah Nabi-nabi dan Umat terdahulu serta para sahabat
Go to page 1, 2, 3, 4 Next
| View previous topic :: View next topic |
| Author |
Message |
FATHI


Joined: Jul 02, 2008 Posts: 14197 Location: Iskandariah, Mesir
|
Post subject: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Wed Dec 31, 2008 10:11 am |
|
Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya
الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم ,أما بعد
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian Alam, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad, juga kepada keluarganya serta para sahabatnya.
Amma b'ad
Oleh: Muhammad Fathi Ali
Diselia Oleh: Ustaz Adlan Abdul Aziz & Ustaz Anwaruddin Abdul Wahab
Pengenalan:
Kitab Sunan at-Tirmizi adalah merupakan sebuah kitab hadis yang terkenal, dan merupakan salah sebuah daripada kitab hadis yang enam (disebut sebagai Kutub al-Sittah ) iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan at-Tirmizi, Sunan Abu Daud, Sunan an-Nasaie dan Sunan Ibn Majah. Kitab ini disusun oleh Imam at-Tirmizi (279H) atau nama penuhnya Muhammad bin Isa bin Saurah bin Musa bin al-Dhihak al-Sulami al-Bughi al-Tirmizi, nama gelaran (kunyah) beliau ialah Abu Isa .
Imam at-Tirmizi adalah salah seorang imam hadis dan hafiz hadis, serta salah seorang daripada mujtahid mutlak dalam hadis, hidup sezaman dengan Imam al-Bukhari, Imam Muslim dan lain-lain huffaz hadis iaitu pada zaman kegemilangan kajian hadis (sekitar kurun ke-2 and ke-3 Hijrah). Kitab Sunan at-Tirmizi ini antara karya monumental dan terpenting imam at-Tirmizi rahimahullah (279H).
Kitab ini kebiasaaannya disebut dengan nama 'al-Sunan at-Tirmizi' atau 'Sunan at-Tirmizi', dinamakan 'al-Sunan' kerana kitab ini mengandungi hadis-hadis hukum dan susunan hadis-hadisnya berdasarkan tertib bab-bab fiqh. Selain daripada itu, ia juga turut dikenali dengan beberapa nama lain dikalangan ulama-ulama hadis. Antara nama-nama lain bagi 'Sunan at-Tirmizi' ialah:
1- Sahih at-Tirmizi: disebut oleh al-Khatib al-Baghdadi (463H)
2- al-Jami' al-Sahih: disebut oleh al-Hakim (405H)
3- al-Jami' al-Kabir: disebut oleh al-Kuttani dalam kitab al-Risalah al-Mustadrafah (nama ini sangat jarang digunakan)
4- al-Jami' al-Tirmizi: nama ini sangat terkenal dan masyhur bagi kitab ini. Perkataan 'al-Jami' bermaksud 'merangkumi', iaitu kitab ini merangkumi pelbagai bidang Ilmu seperti sirah, adab, tafsir, aqidah dan lain-lain.
Namun, penamaan kitab ini dengan 'Sahih at-Tirmizi' dan 'al-Jami' al-Sahih' adalah tidak tepat kerana ia tidak memberi gambaran yang benar terhadap kitab ini.
Berkata Dr. Nuruddin 'Itir dalam thesis kedoktorannya (P.h.D) bertajuk 'Imam at-Tirmizi wa al-Muwazanah baina Jamiuhu wa baina al-Sahihain':
''Tidak tepat bagi orang yang mencetak kitab ini dengan nama 'Sahih at-Tirmizi' atau 'al-Jami' al-Sahih' kerana perkataan ini seolah-olah membayangkan kesemua hadis yang terdapat dalam kitab ini adalah sahih, sedangkan pada hakikatnya adalah tidak begitu''
Manhaj Imam at-Tirmizi dalam Sunannya:
Imam Abu Isa at-Tirmizi telah menulis satu buku kecil pada bahagian akhir kitab Sunannya yang pada kebiasaannya dicetak bersama kitab Sunan at-Tirmizi, buku ini dikenali dengan nama Kitab al-'Ilal, atau lebih tepat lagi disebut Kitab al-'Ilal as-Soghir. Dalam al-'Ilal, beliau rahimahullah ada menjelaskan beberapa poin-poin penting sebagai pendahuluan kepada kitab Sunannya, ini bertujuan untuk memberitahu para pembaca berkenaan apa yang telah beliau masukkan dalam Sunannya. Kitab al-'Ilal ini sangat penting untuk kita membacanya, terutamanya bagi memahami manhaj Imam at-Tirmizi dalam menyusun Sunannya, agar kita tidak tersalah faham atau tersilap tafsir apabila kita membaca kitab Sunan at-Tirmizi ini.
Dalam tulisan ini, penulis akan mengambil beberapa poin-poin penting daripada kitab al-'Ilal dan juga dari sumber-sumber yang lain untuk menerangkan manhaj Imam at-Tirmizi dalam Sunannya. Berikut adalah beberapa poin tersebut:
1- Tujuan ditulis kitab Sunan at-Tirmizi:
Dr. Nuruddin 'Itir menukilkan kata Imam at-Tirmizi berkenaan hal ini dalam thesis kedoktorannya, kata imam at-Tirmizi:
'' (yang) kami perkatakan dalam kitab ini (Sunan Tirmizi) ialah berhubung dengan kata-kata fuqaha' dan 'Ilal al-Hadis (kecacatan-kecacatan hadis) kerana kami telah diminta memperkatakan masalah ini, tetapi kami telah lama tidak dapat melaksanakannya, kemudian kami laksanakannya, mudah-mudahan (kitab ini) akan memberi manfaat''
Dan oleh sebab itu, jika kita perhatikan dalam Sunan at-Tirmizi, setiap hadis-hadis dalam kitab ini akan diterangkan darjat/statusnya oleh beliau sendiri, dan jika terdapat 'Ilal (kecacatan) pada hadis itu, beliau akan menyebutkannya. Selain itu, beliau turut menyebutkan pendapat para ahli ilmu (ulama) berkenaan fiqh hadis itu setelah menyebutkan darjat/statusnya.
2- Kesemua hadis-hadis yang terdapat dalam kitab Sunan at-Tirmizi adalah hadis yang kandungannya diamalkan sebahagian para ahli ilmu kecuali dua hadis, berkata Imam at-Tirmizi:
''segala hadis-hadis yang terdapat dalam kitab ini adalah hadis-hadis yang kandungannya diamalkan, sebahagian para ahli ilmu telahpun mengambil hadis-hadis ini, kecuali dua hadis iaitu (pertama) hadis Ibn Abbas bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW menjama'kan solat Zohor dan Asar, dan juga solat Maghrib dan Isya' di Madinah bukan kerana takut, atau hujan. Dan (kedua) hadis bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: ''apabila seseorang meminum arak hendaklah kamu sebat, jika dia mengulanginya pada kali keempat, hendaklah kamu bunuhnya, dan aku telah pun menjelaskan kecacatan kedua-dua hadis ini dalam kitab ini''
Dalam hal ini, Imam at-Tirmizi kebiasannya menyebutkan setelah memberi status sesuatu hadis dalam Sunannya dengan lafaz
''وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَكْثَرِ أَهْلِ الْعِلْمِ'' (dan diamalkan (hadis ini) oleh kebanyakan ahli ilmu), atau lafaz
'' وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَكْثَرِ أَهْلِ الْعِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ '' (dan diamalkan (hadis ini) oleh kebanyakan ahli ilmu daripada kalangan Sahabat Nabi SAW), atau lafaz ''وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَهْلِ الْعِلْمِ'' (dan diamalkan (hadis ini) oleh ahli ilmu), atau lafaz ''وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ بَعْضِ أَهْلِ الْعِلْم '' (dan diamalkan (hadis ini) oleh sebahagian ahli ilmu), atau lafaz '' وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ بَعْضِ أَهْلِ الْعِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ'' (dan diamalkan (hadis ini) oleh sebahagian ahli ilmu daripada kalangan Sahabat Nabi SAW), atau lafaz '' رَخَّصَ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ'' (telah memperakui (hadis ini) oleh sebahagian ahli ilmu), dan lain-lain lafaz.
Dan kebiasaannya beliau akan turut memberi tahu nama ahli ilmu (ulama') atau mazhab atau sahabat Nabi yang beramal dengan hadis-hadis yang beliau sebutkan itu, contohnya dengan lafaz
'' وَهَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ بَعْضِ أَهْلِ الْعِلْمِ وَهُوَ قَوْلُ أَحْمَدَ وَإِسْحَقَ'' (hadis ini 'Hasan Sahih', dan diamalkan ia oleh sebahagian ahli ilmu, dan ia adalah dari pendapat (pegangan) Ahmad dan Ishaq).
Perlu difahami bahawa apabila Imam at-Tirmizi menyebutkan sesuatu hadis itu 'diamalkan oleh sebahagian ahli ilmu', itu bererti fiqh hadis itu menjadi masalah khilaf antara ulama samada khilaf muktabar atau tidak. Dan apabila beliau menyebutkan sesuatu hadis itu 'diamalkan oleh sebahagian ahli ilmu dari kalangan Sahabat Nabi SAW', itu bererti fiqh hadis itu adalah masalah khilaf antara sahabat sendiri (khilaf muktabar).
3- Berkenaan pendapat fiqh para Fuqaha' yang beliau sebutkan dalam kitab kitab ini (yang kebiasaannya beliau sebutkan selepas beberapa bab atau darjat hadis), kebanyakannya beliau rahimahullah mengambil daripada pendapat Sufyan al-Thauri, Malik bin Anas, Ibn Mubarak, as-Syafie, Ahmad bin Hanbal serta daripada Ishaq bin Ibrahim, kata Imam at-Tirmizi :
3.1) Berkenaan pandapat Sufyan al-Thauri
'' dan apa sahaja yang disebutkan dalam kitab ini daripada pendapat Fuqaha':
apabila disebutkan sesuatu pendapat (fiqh) itu dari Sufyan at-Thauri, maka kebanyakannya diriwayatkan kepada kami dari Muhammad bin Uthman al-Kufi (dia berkata): ''menceritakan kepada kami Abdullah bin Musa dari Sufyan at-Thauri''. Dan sebahagiannya diriwayatkan kepadaku dari Abu al-Fadl, Maktum bin al-Abbas at-Tirmizi (dia berkata): ''Muhammad bin Yusuf al-Firyabi menceritakan kepada kami dari Sufyan''.
3.2) Berkenaan pendapat Malik bin Anas
''apabila disebutkan dalam kitab ini (pendapat fiqh) dari Malik bin Anas, kebanyakannya ialah apa yang diceritakan kepada kami oleh Ishaq bin Musa al-Ansari (dia berkata): 'Ma'n bin 'Isa al-Qazzaz menceritakan kepada kami dari Malik bin Anas. Dan apa sahaja yang berkaitan bab puasa, ia dikhabarkan kepada kami oleh Abu Mus'ab al-Madini dari Malik bin Anas, dan sebahagian dari kata-kata (pendapat) dari Malik juga adalah dari apa yang diceritakan kepada kami oleh Musa bin Hizam (dia berkata): ''Abu Maslamah al-Qa'nabi menceritakan kepada kami dari Malik bin Anas''
3.3) Berkenaan pendapat Ibn Mubarak
''apabila disebutkan dalam kitab ini (pendapat fiqh) dari Ibn Mubarak, ia adalah apa yang diriwayatkan kepada kami oleh Ahmad bin 'Abdah al-Amuli dari para ashab (sahabat-sahabat/pengikut-pengikut) Ibn Mubarak dari Ibn Mubarak sendiri, iaitu antaranya ialah apa yang diriwayatkan dari Abu Wahab Muhammad bin Muhazim dari Ibn Mubarak. Antaranya juga ialah apa yang diriwayatkan 'Ali bin al-Hasan dari Abdullah (ibn Mubarak). Antaranya juga ialah apa yang diriwayatkan dari 'Abdan, dari Sufyan bin 'Abdul Malik, dari Ibn Mubarak. Antaranya juga ialah apa yang diriwayatkan dari Habban bin Musa, dari Ibn Mubarak. Antaranya juga ialah apa yang diriwayatkan dari Wahbi bin Zam'ah dari Fadalah an-Nasawi dari 'Abdullah bin Mubarak. Dan terdapat lain-lain perawi yang namanya disebutkan (dalam kitab ini) yang turut meriwayatkan pendapat dari Ibn Mubarak.
3.4) Berkenaan pendapat Syafie
''apabila disebutkan dalam kitab ini (pendapat fiqh) dari as-Syafie, kebanyakannya ia adalah apa yang dikhabarkan kepada kami oleh al-Hasan bin Muhammad az-Za'farani dari as-Syafie. Manakala, perkara yang berkaitan wudhu' dan solat, ia diceritakan kepada kami oleh Abu al-Walid al-Makki dari as-Syafie, dan antaranya ialah apa yang diceritakan (riwayatkan) kepada kami dari Abu Ismail at-Tirmizi (dia berkata): 'Yusuf bin Yahya al-Qurashi al-Buwaiti (mengkhabarkan kepada kami) dari as-Syafie. Juga disebutkan dalamnya dari ar-Rabi' dari as-Syafie, dan sesungguhnya ar-Rabi' telah memberi kebenaran kapada kami untuk meriwayatkannya, dan dia (ar-Rabi') menulis (kebenaran itu) untuk kami.
3.5) Berkenaan pendapat Ahmad bin Hanbal dan Ishaq bin Ibrahim
''apabila disebutkan dalam kitab ini (pendapat fiqh) dari Ahmad bin Hanbal dan Ishaq bin Ibrahim, ia adalah apa yang dikhabarkan kepada kami dari Ishaq bin Mansur dari Ahmad (bin Hanbal) dan Ishaq (bin Ibrahim), kecuali dalam bab haji, diyat dan hudud dimana aku tidak mendengarnya terus daripada Ishaq bin Mansur, akan tetapi ia adalah daripada Muhammad bin Musa al-Asamm yang mengkhabarkannya daripada Ishaq bin Mansur daripada Ahmad (bin Hanbal) dan Ishaq (bin Ibrahim). Dan sesetengah kenyataaan daripada Ishaq (bin Ibrahim) juga diberitakan kepada kami oleh Muhammad bin Fulaih daripada Ishaq (bin Ibrahim). Dan perkara ini telah kami jelaskan sebaiknya dalam kitab ini…''
4- Berkenaan sumber kritikan terhadap hadis dalam kitab ini (samada berkaitan
'Ilal Hadis, Rijal atau Tarikh), beliau telah berbincang dan mengambilnya daripada al-Bukhari, 'Abdullah bin 'Abdur-Rahman dan Abu Zur'ah, berkata Imam at-Tirmizi :
''apabila disebutkan dalam kitab ini berkenaan 'Ilal Hadis (kecacatan-kecacatan hadis), berkenaan rijal hadis, atau tarikh (sejarah), maka aku mengambilnya daripada Kitab at-Tarikh. Kebanyakan penilaian ialah daripada pendapat yang dipegang Muhammad bin Ismail (Imam al-Bukhari), dan ada juga daripada pendapat 'Abdullah bin 'Abdur-Rahman dan Abu Zur'ah. Majoritinya adalah daripada penilaian yang dipegang Muhammad (bin Ismail/Imam al-Bukhari), dan sedikit daripada penilaian 'Abdullah bin 'Abdur-Rahman dan Abu Zur'ah. Aku tidak melihat dan mengetahui sesiapapun di 'Iraq atau di Khurasan yang lebih berpengetahuan dan berpengalaman berkenaan maksud 'Ilal Hadis, Tarikhnya, serta keupayaaan mengenal dan mahir dengan jalur-jalur periwayatan (sanad) yang banyak, melainkan Muhammad bin Ismail…''
5- Istilah yang digunakan Imam at-Tirmizi untuk menyatakan kesahihan atau kedhaifan sesuatu hadis dalam Sunannya :
Syaikh al-Muhaddith Abdul Aziz at-Torifi (hafizahullah) telah membuat kajian terhadap istilah-istilah yang digunakan oleh Imam at-Tirmizi dalam mensahihkan atau mendhaifkan sesuatu hadis dalam kitab Sunannya , dan penulis ringkaskannya kepada tiga jenis seperti dibawah :
5.1) Jenis 1
Apabila Imam at-Tirmzi (rahimahullah) berkata:
1- Hadis Hasan Sahih - حسن صحيح , atau
2- Hadis Sahih Hasan - صحيح حسن , atau
3- Hadis Sahih - صحيح, atau
4- Hadis Sahih Gharib - صحيح غريب, atau
5- Hadis Gharib Sahih - غريب صحيح, atau
6- Hadis Sahih Hasan Gharib - صحيح حسن غريب
Ini bemaksud at-Tirmizi mensahihkan hadis dalam kebanyakan keadaan (majoriti kes). Dan tahap yang paling tinggi dalam jenis ini ialah dengan istilah ''Hasan Sahih'' dalam kebanyakan keadaan (majoriti kes), ini kerana kebanyakan hadis-hadis yang disebutkan at-Tirmizi sebagai ''Hasan Sahih'' adalah dijumpai dalam kitab Sahihain (iaitu Sahih Bukhari & Sahih Muslim) atau salah satu dari duanya (iaitu samada dalam Sahih Bukhari atau Sahih Muslim) atau menepati syarat keduanya atau salah satu dari duanya, atau datangnya hadis itu dengan sanad yang sahih dan kuat.
Dibawah tahap ''Hasan Sahih'' ialah istilah ''Sahih'' dan ia sama dengan ''Jayyid'', akan tetapi at-Tirmizi tidak menggunakan istilah ''Jayyid'' menyendiri (iaitu tanpa adanya tambahan perkataan lain bersama Jayyid) kecuali pada tempatnya (keadaan yang sesuai).
Penyebutan at-Tirmizi dengan istilah ''Sahih Gharib Hasan'' adalah jarang digunakan dan digunakan beliau pada sejumlah kecil hadis-hadis Sahih, dan ia adalah lebih kuat dari istilah ''Gharib Hasan Sahih'' dimana beliau menggunakannya (Gharib Hasan Sahih) pada sebilangan kecil hadis yang sebahagian darinya Sahih dan sebahagian darinya terdapat kelemahan. Penyebutam at-Tirmizi dengan istilah ''Gharib Hasan Sahih'' adalah sama dengan istilah ''Sahih Hasan Gharib'' yang digunakannya.
Adalah jelas bagi mereka yang mengkaji ''as-Sunan'' (Sunan Tirmizi) bahawa sesungguhnya Imam at-Tirmizi tidak menggunakan istilah ''Sahih Gharib'' kecuali pada bahagian akhir Sunannya, dan kebanyakannya beliau gunakan pada hadis-hadis yang tidak bersangkutan hukum. Dan jelas, istilah ini adalah tahap pentahsihan paling rendah daripada beliau, dan kadang-kala beliau menggunakan istilah ini pada hadis yang dilemahkan oleh Muhaddithin lainnya, dan hanya Allah yang Maha Mengetahui.
5.2) Jenis 2
Apabila Imam at-Tirmzi (rahimahullah) berkata: حَدِيثٌ حَسَنٌ - ''hadis Hasan''
Apabila Imam at-Tirmizi ingin menyatakan kedhaifan pada hadis itu, beliau menggunakan istilah ''Hadis Hasan''. Sesetengah pihak tertipu dengan istilah ini dan menyangka bahawa maksud istilah ''Hasan'' oleh Imam at-Tirmizi adalah sama seperti yang biasa difahami umum (dalam Mustolah Hadis), akan tetapi ianya tidak begitu.
Apabila Imam at-Tirmizi menggunakan istilah ''Hasan'', yang dimaksudkan oleh beliau ialah hadis itu Dhaif dan Tidak Sahih. Berikut adalah bukti untuk pernyataan ini:
1- Imam at-Tirmizi sendiri menerangkan hal ini dalam buku 'Ilal beliau: ''apabila kami sebutkan dalam Kitab ini sesuatu hadis itu sebagai ''Hadis Hasan'', maka apa yang dimaksudkan kami ialah ianya baik (hasan) dari segi sanadnya yang nampak kepada kami, iaitu mana – mana hadis yang tidak terdapat dalamnya perawi yang bertaraf disyaki berdusta, dan juga hadis itu tidak syaz''. Kenyataan Imam at-Tirmizi ini jelas menunjukkan bahawa beliau menghadkan penggunaan istilah ''Hadis Hasan'' ini untuk hadis – hadis yang mengandungi perawi yang bertaraf disyaki berdusta atau sesuatu hadis yang syaz sahaja, akan tetapi beliau tidak menghadkan dari menggunakan istilah ''Hadis Hasan'' ini untuk perawi yang bertaraf bawah dari disyaki berdusta tetapi tetap dan masih lagi berada dalam daerah dan lingkungan perawi yang Dhaif (contohnya – perawi yang bertaraf Dhaif, Dhaif Jiddan, Fasiq, Suu' al-Hifzi, atau disebabkan kecacatan pada sanad seperti 'Sanadnya Tidak Bersambung', atau disebabkan 'Ilal (yang tersembunyi pada sanad atau matan) dan lain-lain kecacatan yang menyababkan hadis itu Dhaif), bahkan beliau tidak menyebutkan bahawa hadis yang disebut sebagai ''hadis Hasan'' dalam kitabnya ini boleh digunakan sebagai hujah atau tidak.
2- Juga adalah menjadi amalan para Imam Hadis dari kalangan huffaz al-Mutaqaddimun menggunakan istilah ''Hasan'' untuk menyatakan eloknya dan istiqamahnya matan sesuatu hadis itu sahaja (Husn dan Istiqamah pada matan), walaupun dari segi sanad hadis itu terdapat kecacatan dan tertolak. Perkara ini dapat diketahui daripada amalan dan kata-kata para Imam Huffaz Hadis al-Mutaqaddimin itu sendiri.
3- Dan perkara ini adalah sesuatu yang sangat biasa, jelas dan diketahui umum bagi sesiapa yang mengkaji dengan mendalam akan cara dan metod Imam at-Tirmizi dalam Sunannya dan membuat perbandingan dengan penilaian, pentahsihan dan kata-kata daripada Imam-Imam Mutaqaddimun yang lainnya.
4- Perkara ini juga jelas dalam pengamalan Imam at-Tirmizi sendiri dalam Sunannnya, iaitu setelah beliau menyebutkan sesuatu hadis itu sebagai ''Hadis Hasan'', beliau akan turut menyatakan kedhaifan hadis tersebut dengan memberitahu sebab kenapa hadis itu Dhaif, atau dengan memberitahu bahawa terdapat hadis lain yang lebih terpilih. Dalam Sunannya, apabila beliau menyebutkan sesuatu hadis itu sebagai ''Hadis Hasan'', beliau akan menyambung dengan berkata: ''sanadnya tidak bersambung'', atau ''sanadnya tidak kuat'', atau ''sanadnya bukan begitu kuat, ianya lemah'' dan lain-lain lafaz. Antara contohnya:
a) Pada hadis berkenaan wudhu', no. 37, kata Imam at-Tirmizi:
هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ لَيْسَ إِسْنَادُهُ بِذَاكَ الْقَائِمِ (ini ''Hadis Hasan'', dan sanadnya tidak kuat)
b) Pada hadis berkenaan membaca al-Quran, no. 2917, kata Imam at-Tirmizi:
هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ لَيْسَ إِسْنَادُهُ بِذَاكَ (ini ''Hadis Hasan'', dan sanadnya bukan begitu kuat (ianya lemah))
c) Pada hadis berkenaan doa masuk dan keluar masjid, hadis no. 315, kata Imam at-Tirmizi:
حَدِيثُ فَاطِمَةَ حَدِيثٌ حَسَنٌ وَلَيْسَ إِسْنَادُهُ بِمُتَّصِلٍ وَفَاطِمَةُ بِنْتُ الْحُسَيْنِ لَمْ تُدْرِكْ فَاطِمَةَ الْكُبْرَى إِنَّمَا عَاشَتْ فَاطِمَةُ بَعْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَشْهُرًا
(Hadis Fatimah ini ''Hadis Hasan'', dan sanadnya tidak bersambung, dan Fatimah bint al-Husin tidak pernah bertemu (tidak hidup pada waktu neneknya) Fatimah bint Muhammad SAW…)
Apa yang telah disebutkan sebelum ini ialah penggunaan istilah ''Hasan'' oleh Imam at-Tirmizi dalam banyak (majoriti) kes. Walaubagaimanapun, beliau terkadang turut meggunakan istilah ''Hasan'' untuk menyatakan kecacatan yang ada pada sanad sesuatu hadis, namun kecacatan itu tidaklah sampai menyebabkan hadis itu menjadi Dhaif, atau apabila beliau berasa tidak pasti samada hendak menolak atau menerima sesuatu riwayat itu, ini dapat dilihat apabila beliau pernah menggunakan istilah ''Hasan'' untuk hadis yang (jika disemak) turut terdapat dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Contohnya, setelah meriwayatkan hadis yang menggalakkan untuk solat sunat (solat nafiil) itu dilakukan dirumah, iaitu bahawa Rasulullah bersabda: ''afdal solat-solat kamu dilakukan dirumah-rumah kamu, kecuali solat wajib - أَفْضَلُ صَلَاتِكُمْ فِي
بُيُوتِكُمْ إِلَّا الْمَكْتُوبَة – hadis no. 450'', pada hadis ini beliau menyatakan perbezaan yang terdapat dalam riwayatnya, iaitu: sesetengah meriwayatkan kata-kata itu daripada Nabi SAW (bersambung), dan sesetengah yang lain meriwayatkannya daripada Sahabat Nabi SAW (tidak bersambung). Setelah beliau menyatakan perbezaan ini, beliau menyebutkan istilah ''Hasan'' pada hadis tersebut, dan beliau sendiri kemudiannya mentarjihkan bahawa riwayat yang bersambung adalah lebih sahih. Sedang perbezaan itu sendiri (yang disebutkan tadi) bukanlah satu kecacatan yang merosakkan kekuatan riwayat (hadis) itu (disebut sebagai 'Ilah Ghairu Qaadilah)
5.3) Jenis 3
Apabila Imam at-Tirmzi (rahimahullah) berkata:
1- غريب - Gharib
2- حسن غريب - Hasan Gharib
3- غريب حسن - Gharib Hasan
4- ليس بالقوي - Laisa bil Qawi (tidak kuat)
5- إ سناده ليس بذاك- Isnadahu Laisa bi Dzaak (sanadnya tidaklah kuat,ianya lemah)
6- ليس إسناده بالقائم - Laisa sanadah bil Qaaim (sanadnya tidak kuat)
7- ليس إسناده بصحيح - Laisa Isnadahu bi Sahih (sanadnya tidak sahih)
8- إسناده ضعيف - Isnadahu Dhaif (sanadnya dhaif)
9- لا يصح - La Yasih (ianya tidak sahih)
10- حديث منكر - Hadisun Munkarun (hadis yang tertolak/mungkar)
11- فيه فلان ليس بالقوي - Fihi Fulan Laisa bil Qawi (pada rawi ini tidak kuat)
Apabila Imam at-Tirmizi menggunakan istilah-istilah ini, ia bermaksud beliau sedang memberitahu kelemahan sesuatu hadis tersebut/sedang mendhaifkan hadis tersebut. Dan tahap pendhaifan yang paling tinggi dalam kategori ini ialah istilah ''Mungkar'' (istilah Mungkar untuk hadis yang tahap paling lemah dalam sunannya, dan beliau menggunakan istilah ini sangat jarang). Istilah yang beliau gunakan lebih kerap daripada ''Mungkar'' ialah istilah ''Gharib'', diikuti dengan istilah ''Hasan Gharib'', dimana ia memberi erti bahawa teks hadis itu bebas daripada kecacatan yang disebabkan oleh ''kepelikan'' (syuzuz, nakarah, dan gharabah), akan tetapi sebaliknya kecacatan itu terdapat pada sanad hadis tersebut, yang mungkin mempunyai 'Illah (kecacatan) menyebabkan riwayat/hadis itu tertolak.
Secara umumnya dan dalam majoriti kes, hadis-hadis yang disebutkan Imam at-Tirmizi sebagai ''Gharib'' adalah lebih lemah daripada hadis yang disebutnya sebagai ''Hasan Gharib'' atau ''Hasan''. Akan tetapi, hadis-hadis yang disebutnya sebagai ''Hasan Gharib'' adalah lebih lemah daripada hadis yang disebutnya sebagai ''Hasan''.
Adakalanya apabila beliau menyebutkan sesuatu hadis itu sebagai ''Gharib'' atau ''Hasan Gharib'', beliau akan turut menjelaskan 'Illah (kecacatan) yang terdapat padanya. Contohnya pada hadis yang berbunyi: '' لِكُلِّ نَبِيٍّ رَفِيقٌ وَرَفِيقِي يَعْنِي فِي الْجَنَّةِ عُثْمَانُ- setiap Nabi mempunyai teman (Rafiqh) dan temanku di syurga ialah Uthman'' – hadis no. 3698'', setelah menyebutkan hadis ini dalam Sunannya, Imam at-Tirmizi berkata: '' هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ – hadis ini Gharib'', dan kemudiannya beliau menyambung dengan berkata : ''- لَيْسَ إِسْنَادُهُ بِالْقَوِيِّ وَهُوَ مُنْقَطِعٌ sanadnya tidak kuat dan ianya terputus''. Terdapat banyak lagi contoh-contoh dalam hal ini dan penulis tidak berniat untuk menyebutkan kesemuanya.
Juga penggunaan istilah ''Hadisun Mungkar'' dan ''La Yasih'' adalah sangat jarang digunakan Imam at-Tirmizi dalam Sunannya, dan hadis yang dinyatakan oleh beliau sebagai ''Mungkar'' dan ''La Yasih'' adalah dari kelompok hadis – hadis yang sangat sangat tertolak (Mungkar Jiddan) dan Palsu (Batil).
Pandangan Ulama' terhadap Sunan at-Tirmizi:
Berkata Imam at-Tirmizi: ''setelah aku siapkan kitabku ini (Sunan at-Tirmizi), aku bentangkan kepada ulama-ulama Hijaz, Iraq, dan Khurasan, mereka semua menerima kitab ini''
Menurut al-'Allamah Thasy Kubra, Imam at-Tirmizi (rahimahullah) mempunyai banyak karya, tetapi Sunan at-Tirmizi merupakan kitab beliau yang paling bernilai. Banyak memberikan faedah, susunannya sangat menarik, tidak banyak berulang. Kitab ini mempunyai keistimewaan dari segi menyebutkan mazhab-mazhab (iaitu mazhab fiqh bersesuaian dengan hadis-hadis yang disebutkan) dan cara mengambil dalil, menerangkan nilai (status) bagi setiap hadis samada ia Sahih, Hasan, dan Gharib , ada menyentuh masalah Jarh wa Ta'dil . Pada akhir Sunan at-Tirmizi terdapat satu tajuk yang dinamakan ''Kitab al-'Ilal'' yang sangat berfaedah dan tidak dapat dinafikan oleh mereka yang mengkajinya'' .
Antara kitab-kitab yang mensyarahkan Sunan at-Tirmizi:
Terdapat banyak kitab-kitab yang mensyarahkan Sunan at-Tirmizi, antaranya:
1- Aridh al-Ahwazi fi Syarh al-Tirmizi, oleh al-Hafiz Abu Bakr Muhammad bin Abdullah al-Syibili (543H).
2- al-Arf al-Shaza 'ala Jami' al-Tirmizi, oleh Siraj al-Din Umar bin Ruslan al-Bulqini al-Syafie (805H).
3- Qut al-Muqtazi 'ala Jami' al-Tirmizi, oleh al-Suyuthi (911H).
4- al-Thib al-Shaza fi Syarh al-Tirmizi, oleh Ishfaq al-Rahman Kandahlawi.
5- Tuhfah al-Ahwadzi li Syarh Jami' al-Tirmizi, oleh Abdul Rahman al-Mubarakfuri
6- Miftah al-Kunuz al-Tirmizi, oleh Muhammad Fuad Abd al-Baqi'.
Sekian, moga penulisan yang serba ringkas dan lemah ini dapat memberi manfaat insyaAllah
Allah-hu-'Alam
Muhammad Fathi bin Ali
2 November 2007
8:10 mlm, Malaysia
Rujukan Penulis:
1- Sunan Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa at-Tirmizi, tahqiq Ahmad Muhd Syakir, cetakan Dar Ihya Turath al-Arabi, Beirut. Edisi Cd-Rom Maktabah Syamilah, version 1.
2- 'Ilal Soghir, Sunan Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa at-Tirmizi, edisi www.al-islam.com
3- Tahrir Taqrib al-Tahzib, Syaikh Syuaib al-Arnaouth & Dr Basyar Awwad Ma'ruf, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut/Lebanon 1999.
4- Manhaj al-Imam al-Tirmizi fi Ahkamuhu 'ala Ahadith fi al-Sunan, Syaikh Abdul Aziz at-Torifi (merupakan salinan semula oleh Hamud al-Mthiri (ahli forum Multaqa Ahli Hadith) daripada kuliah Imla' syaikh at-Tofiri dalam Syarah Hadis Jabir, pada bulan Zulhijjah, tahun 1423 Hijrah) www.ahlalhdeeth.com
5- Biografi Ulama-Ulama Hadith, Prof Madya Dr Ariffin bin Omar & H.M Yusuf Sinaga Lc, cetakan Jahabersa, Malaysia 2005.
6- Taisir Mustolah al-Hadith, Dr. Mahmud Tohhan, cetakan Pustaka Thariqatul Izzah, Bogor 2006.
7- Muhadharat fi Ulum al-Hadith, Dr. Mahir Yasin al-Fahl, edisi www.saaid.net
-------- nota kaki:
Kutub al-Sittah, atau buku-buku yang enam iaitu sunan Tirmizi,sunan Ibn Majah, sunan Nasaie,sunan Abu Daud,sahih Bukhari dan sahih Muslim. Sesetengah memanggil kitab-kitab ini sebagai al-Usul al-Sittah dan as-Sihah al-Sittah. Digelar Usul al-Sittah adalah kerana kitab-kitab ini telah menjadi pokok dalil bagi Umat Islam seluruhnya,biasanya kita tidak akan terlepas daripada enam kitab ini dalam sumber dalil fiqh. Walaubagaimanapun, nama as-Sahih al-Sittah adalah tidak digalakkan kerana ia memberi gambaran yang kurang tepat seolah-olah keenam-enam kitab ini semuanya mengandungi hadis-hadis yang sahih, sedangkan bukan semuanya sahih. Nama kutub al-Sittah adalah nama yang paling popular antara semuanya. Perlu diberi perhatian, sesetengah orang menggelar kitab-kitab ini sebagai Sunan al-Sittah, penamaan kitab-kitab ini sebagai Sunan al-Sittah adalah tidak tepat, kerana kitab Sunan yang popular hanyalah empat (iaitu sunan Ibn Majah, sunan Tirmizi, sunan Abu Daud, sunan Nasaie) dan dikenali sebagai Sunan Arba'ah.
Rujuk Tahrir Taqrib al-Tahzib susunan Syaikh Syuaib al-Arnaouth & Dr. Basyar Awwad Ma'ruf, rijal no. 6206, jld 3, m/s 302, cetakan Muassasah Risalah,Beirut 1998.
Rujuk buku 'Imam at-Tirmizi wa al-Muwazanah baina Jamiuhu wa baina al-Sahihain' oleh Nuruddin 'Itir, dinukil dari buku 'Biografi Ulama-Ulama Hadis' oleh Prof Madya Dr Ariffin bin Omar, H.M Yusuf Sinaga Lc, cetakan Jahabersa 2005, m/s 46
Ini kerana Imam at-Tirmizi mempunyai satu lagi kitab 'Ilal yang ditulis berasingan dan dikenali dengan nama al-'Ilal al-Kabir.
Rujuk buku 'Imam at-Tirmizi wa al-Muwazanah baina Jamiuhu wa baina al-Sahihain' oleh Nuruddin 'Itir, dinukil dari buku 'Biografi Ulama-Ulama Hadis' oleh Prof Madya Dr Ariffin bin Omar, H.M Yusuf Sinaga Lc, cetakan Jahabersa 2005, m/s 46
Rujuk Sunan Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa at-Tirmizi, kitab al-'Ilal.
Rujuk Sunan Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa at-Tirmizi, kitab al-'Ilal.
Rujuk Sunan Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa at-Tirmizi, kitab al-'Ilal.
Rujuk '' Manhaj al-Imam al-Tirmizi fi Ahkamuhu 'ala Ahadith fi al-Sunan'' oleh Syaikh Abdul Aziz at-Torifi (merupakan salinan semula oleh Hamud al-Mthiri (ahli forum Multaqa Ahli Hadith) daripada kuliah Imla' syaikh at-Tofiri dalam Syarah Hadis Jabir, pada bulan Zulhijjah, tahun 1423 Hijrah) www.ahlalhdeeth.com
Kesemua jenis-jenis yang akan disebutkan penulis adalah istilah-istilah yang kebiasaannya dan kerap kali digunakan Imam at-Tirmizi. Walaubagaimanapun, masih terdapat lagi istilah-istilah lain yang digunakan beliau dan memerlukan penerangan lanjut. Untuk lanjut, sila rujuk ''Manhaj al-Imam al-Tirmizi fi Ahkamuhu 'ala Ahadith fi al-Sunan'' oleh Syaikh Abdul Aziz at-Torifi.
Rujuk Tahzib al-Thazib (389:9), dinukil daripada bahagian muqaddimah tahqiq kitab Sunan Tirmizi oleh Ahmad Muhd Syakir, cetakan Dar Ihya Turath al-Arabi, Beirut. Edisi Cd-Rom Maktabah Syamilah, version 1.
Maksud istilah-istilah ini telah kita bincangkan dalam tulisan ini.
Jarh wa Ta'dil: salah satu bidang dalam ilmu hadis, satu ilmu yang mengkaji para rijal (perawi) hadis dalam menentukan kedudukan dan status mereka dalam satu periwayatan hadis, samada boleh diterima atau tidak. Ilmu ini bermula sejak penghujung zaman sahabat dan terus berkembang demi membezakan antara periwayat hadis yang benar-benar diyakini kebenarannya dan ketepatannya. Ilmu ini amat amat mendalam dan berkembang dengan hebat pada zaman kegemilangan hadis iaitu sekitar kurun kedua dan ketiga Hijrah.
Rujuk ''Biografi Ulama-Ulama Hadith'', Prof Madya Dr Ariffin bin Omar & H.M Yusuf Sinaga Lc, cetakan Jahabersa, Malaysia 2005 . m/s 47
_________________ "Hizbullah yang hakiki ialah "Hizb Abu Bakar serta `Umar serta `Uthman serta `Ali serta `Aishah serta Para Sahabah seluruhnya", bukan Hizbullah yang disebut-sebut sekarang" ~ Fathi Al-Sakandary ~
Last edited by FATHI on Fri Aug 26, 2011 3:41 am; edited 1 time in total |
|
| Back to top |
|
|
abuirfan


Joined: Jun 24, 2008 Posts: 4409 Location: Exist Far Beyond Your World
|
Post subject: Re: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Wed Dec 31, 2008 11:24 am |
|
Dah letak kat ruangan download...
http://al-fikrah.net/Downloads/details/id=344.html
_________________ “Terimalah apa yang mudah dari akhlak mereka dan perintahkanlah orang lain mengerjakan yang ma’ruf serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh. (Al-A’raaf : 199)” - http://abuirfan.org |
|
| Back to top |
|
|
HadiJaafar


Joined: Nov 03, 2008 Posts: 373 Location: Hulu Kelang
|
Post subject: Re: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Wed Dec 31, 2008 11:28 am |
|
MasyaALlah...
syukran, jazakAllah...
semoga Allah memberkati warga2 AFN yang tidak kenal penatlelah di dlm menyebarkan ilmu pengetahuan kepada umat Islam.Ameen
|
|
| Back to top |
|
|
FATHI


Joined: Jul 02, 2008 Posts: 14197 Location: Iskandariah, Mesir
|
Post subject: Re: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Thu Jan 01, 2009 7:06 am |
|
wa iyyak
_________________ "Hizbullah yang hakiki ialah "Hizb Abu Bakar serta `Umar serta `Uthman serta `Ali serta `Aishah serta Para Sahabah seluruhnya", bukan Hizbullah yang disebut-sebut sekarang" ~ Fathi Al-Sakandary ~ |
|
| Back to top |
|
|
abulwafaa


Joined: Jul 10, 2008 Posts: 4962 Location: SA
|
Post subject: Re: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Sat Feb 28, 2009 5:45 pm |
|
| FATHI wrote: |
Apabila Imam at-Tirmizi menggunakan istilah ''Hasan'', yang dimaksudkan oleh beliau ialah hadis itu Dhaif dan Tidak Sahih. Berikut adalah bukti untuk pernyataan ini:
1- Imam at-Tirmizi sendiri menerangkan hal ini dalam buku 'Ilal beliau: ''apabila kami sebutkan dalam Kitab ini sesuatu hadis itu sebagai ''Hadis Hasan'', maka apa yang dimaksudkan kami ialah ianya baik (hasan) dari segi sanadnya yang nampak kepada kami, iaitu mana – mana hadis yang tidak terdapat dalamnya perawi yang bertaraf disyaki berdusta, dan juga hadis itu tidak syaz''.
Kenyataan Imam at-Tirmizi ini jelas menunjukkan bahawa beliau menghadkan penggunaan istilah ''Hadis Hasan'' ini untuk hadis – hadis yang mengandungi perawi yang bertaraf disyaki berdusta atau sesuatu hadis yang syaz sahaja, akan tetapi beliau tidak menghadkan dari menggunakan istilah ''Hadis Hasan'' ini untuk perawi yang bertaraf bawah dari disyaki berdusta tetapi tetap dan masih lagi berada dalam daerah dan lingkungan perawi yang Dhaif (contohnya – perawi yang bertaraf Dhaif, Dhaif Jiddan, Fasiq, Suu' al-Hifzi, atau disebabkan kecacatan pada sanad seperti 'Sanadnya Tidak Bersambung', atau disebabkan 'Ilal (yang tersembunyi pada sanad atau matan) dan lain-lain kecacatan yang menyababkan hadis itu Dhaif), bahkan beliau tidak menyebutkan bahawa hadis yang disebut sebagai ''hadis Hasan'' dalam kitabnya ini boleh digunakan sebagai hujah atau tidak.
|
ada silap kot pada ayat2 bergaris
_________________ abulwafaa.blogspot.com/ |
|
| Back to top |
|
|
FATHI


Joined: Jul 02, 2008 Posts: 14197 Location: Iskandariah, Mesir
|
Post subject: Re: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Sat Feb 28, 2009 6:35 pm |
|

maaf, mmg ana silap type, nanti ana betulkan. dah minta proofread sblm siarkn, tapi sblm ni x perasan nampaknya silap di situ..
syukran.
_________________ "Hizbullah yang hakiki ialah "Hizb Abu Bakar serta `Umar serta `Uthman serta `Ali serta `Aishah serta Para Sahabah seluruhnya", bukan Hizbullah yang disebut-sebut sekarang" ~ Fathi Al-Sakandary ~ |
|
| Back to top |
|
|
iman_taqwa


Joined: Aug 31, 2008 Posts: 4391 Location: Kampung Baru
|
Post subject: Re: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Sat Feb 28, 2009 9:09 pm |
|
syukran di atas maklumat yg diberikan mengenai sunan at-tirmizi ini..
byk manfaat bagi ana yg masih terkapai2 dalam menuntut ilmu..
_________________ Patutkah manusia menyangka bahawa mrk akan dibiarkan dgn hanya berkata: Kami beriman, sedang mrk tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
tajdid-dakwah.blogspot.com/
tintatravelog.blogspot.com/ |
|
| Back to top |
|
|
Adli_Khalim


Joined: Mar 06, 2009 Posts: 3927 Location: Jakarta Barat
|
Post subject: Re: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Wed Aug 12, 2009 12:54 am |
|
Syaikh FATHI tak nak menulis tentang Sunan An-Nasai pulak ke? Saya pernah dengar dalam rakaman SMPIH (Seminar Metodologi Pengajian Ilmu Hadith), salah seorang penceramah mengatakan bahawa Imam An-Nasai dalam sunannya lebih menekankan ilmu 'ilal hadits. Mungkin syaikh FATHI boleh menjelaskan sedikit sebanyak mengenai perkara tersebut.
|
|
| Back to top |
|
|
FATHI


Joined: Jul 02, 2008 Posts: 14197 Location: Iskandariah, Mesir
|
Post subject: Re: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Wed Aug 12, 2009 1:31 am |
|
| adli wrote: |
| Syaikh FATHI tak nak menulis tentang Sunan An-Nasai pulak ke? Saya pernah dengar dalam rakaman SMPIH (Seminar Metodologi Pengajian Ilmu Hadith), salah seorang penceramah mengatakan bahawa Imam An-Nasai dalam sunannya lebih menekankan ilmu 'ilal hadits. Mungkin syaikh FATHI boleh menjelaskan sedikit sebanyak mengenai perkara tersebut. |
ana dalam usaha meringkaskan isi2 kitab Syaikh Hatim Syarif - nama kitab : Masodir Sunnah wa Manahij Msonnafiha, syaikh Hatim Syarif ada bincangkan tntg kutub sittah dan manhaj2 mereka yg tersendiri. Ana masih xda masa nk tulis, selepas tulis ustaz akan semak dan then baru siarkan, doakan di beri masa dan kekuatan dan petunjuk Nya.
secara panduan umum: Imam an-Nasaie ada 2 kitab hadith yg terkenal, 1- Sunan al-Kubra dan 2 - Sunan al-Sughra atau lebih di kenali dgn al-Mujtaba, dalam Sunan al-Sughra (al-Mujtaba) Imam an-Nasaie kumpulkan hadith2 dari al-Kubra, dan dlm Sunan al-Sughra ni kesemua hadithnya adalah sahih disisi an-Nasaie kecuali hadith2 yg beliau sebutkan kecacatannya.
wallah-hu-'alam
_________________ "Hizbullah yang hakiki ialah "Hizb Abu Bakar serta `Umar serta `Uthman serta `Ali serta `Aishah serta Para Sahabah seluruhnya", bukan Hizbullah yang disebut-sebut sekarang" ~ Fathi Al-Sakandary ~ |
|
| Back to top |
|
|
ibnuabbas


Joined: Dec 26, 2008 Posts: 2931 Location: Klang-Kepong-Shah Alam
|
Post subject: Re: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Wed Aug 12, 2009 5:59 am |
|
| FATHI wrote: |
| adli wrote: |
| Syaikh FATHI tak nak menulis tentang Sunan An-Nasai pulak ke? Saya pernah dengar dalam rakaman SMPIH (Seminar Metodologi Pengajian Ilmu Hadith), salah seorang penceramah mengatakan bahawa Imam An-Nasai dalam sunannya lebih menekankan ilmu 'ilal hadits. Mungkin syaikh FATHI boleh menjelaskan sedikit sebanyak mengenai perkara tersebut. |
ana dalam usaha meringkaskan isi2 kitab Syaikh Hatim Syarif - nama kitab : Masodir Sunnah wa Manahij Msonnafiha, syaikh Hatim Syarif ada bincangkan tntg kutub sittah dan manhaj2 mereka yg tersendiri. Ana masih xda masa nk tulis, selepas tulis ustaz akan semak dan then baru siarkan, doakan di beri masa dan kekuatan dan petunjuk Nya.
secara panduan umum: Imam an-Nasaie ada 2 kitab hadith yg terkenal, 1- Sunan al-Kubra dan 2 - Sunan al-Sughra atau lebih di kenali dgn al-Mujtaba, dalam Sunan al-Sughra (al-Mujtaba) Imam an-Nasaie kumpulkan hadith2 dari al-Kubra, dan dlm Sunan al-Sughra ni kesemua hadithnya adalah sahih disisi an-Nasaie kecuali hadith2 yg beliau sebutkan kecacatannya.
wallah-hu-'alam |
Terima kasih atas maklumat.
www.almeshkat.net/book...;book=2375
Jazakallahu khaira wa barakallahu fik
_________________ My Blog - www.murabi6.wordpress.com
MuRabi6, Aufa Hannan, Cream Of Society, Alim Mujahid, Ibnu Taymiyyah dan Az-Zahabiy |
|
| Back to top |
|
|
Adli_Khalim


Joined: Mar 06, 2009 Posts: 3927 Location: Jakarta Barat
|
Post subject: Re: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Wed Aug 12, 2009 5:42 pm |
|
| FATHI wrote: |
ana dalam usaha meringkaskan isi2 kitab Syaikh Hatim Syarif - nama kitab : Masodir Sunnah wa Manahij Msonnafiha, syaikh Hatim Syarif ada bincangkan tntg kutub sittah dan manhaj2 mereka yg tersendiri. Ana masih xda masa nk tulis, selepas tulis ustaz akan semak dan then baru siarkan, doakan di beri masa dan kekuatan dan petunjuk Nya.
secara panduan umum: Imam an-Nasaie ada 2 kitab hadith yg terkenal, 1- Sunan al-Kubra dan 2 - Sunan al-Sughra atau lebih di kenali dgn al-Mujtaba, dalam Sunan al-Sughra (al-Mujtaba) Imam an-Nasaie kumpulkan hadith2 dari al-Kubra, dan dlm Sunan al-Sughra ni kesemua hadithnya adalah sahih disisi an-Nasaie kecuali hadith2 yg beliau sebutkan kecacatannya.
wallah-hu-'alam |
Sekiranya tidak keberatan, boleh tak syaikh FATHI bagi contoh kalimah yang digunakan oleh Imam An-Nasai apabila beliau ingin menyatakan bahawa sesuatu hadits itu dha'if? Boleh saya try check nanti.
Untuk saudara ibnuabbas, terima kasih atas perkongsiannya.
|
|
| Back to top |
|
|
FATHI


Joined: Jul 02, 2008 Posts: 14197 Location: Iskandariah, Mesir
|
Post subject: Re: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Wed Aug 12, 2009 7:06 pm |
|
| adli wrote: |
| FATHI wrote: |
ana dalam usaha meringkaskan isi2 kitab Syaikh Hatim Syarif - nama kitab : Masodir Sunnah wa Manahij Msonnafiha, syaikh Hatim Syarif ada bincangkan tntg kutub sittah dan manhaj2 mereka yg tersendiri. Ana masih xda masa nk tulis, selepas tulis ustaz akan semak dan then baru siarkan, doakan di beri masa dan kekuatan dan petunjuk Nya.
secara panduan umum: Imam an-Nasaie ada 2 kitab hadith yg terkenal, 1- Sunan al-Kubra dan 2 - Sunan al-Sughra atau lebih di kenali dgn al-Mujtaba, dalam Sunan al-Sughra (al-Mujtaba) Imam an-Nasaie kumpulkan hadith2 dari al-Kubra, dan dlm Sunan al-Sughra ni kesemua hadithnya adalah sahih disisi an-Nasaie kecuali hadith2 yg beliau sebutkan kecacatannya.
wallah-hu-'alam |
Sekiranya tidak keberatan, boleh tak syaikh FATHI bagi contoh kalimah yang digunakan oleh Imam An-Nasai apabila beliau ingin menyatakan bahawa sesuatu hadits itu dha'if? Boleh saya try check nanti.
Untuk saudara ibnuabbas, terima kasih atas perkongsiannya. |
antara contoh dalam Sunan al-Sughra (a.k.a al-Mujtaba):
hadeeth:
من مس ذكره فلا يصلي حتى يتوضأ
sape2 yg pgg kemaluan, jgn ler solat sebelum pi ambik wudhu (semula)
kata an-Nasaie:
فيه هشام بن عروة لم يسمع من أبيه هذا الحديث
pada sanad hadith ni ada Hisyam b. 'Urwah, dan dia actually x dgr hadith ni dari ayahnya (maknanya sanad putus, ia dhaif disisi an-Nasaie)
_________________ "Hizbullah yang hakiki ialah "Hizb Abu Bakar serta `Umar serta `Uthman serta `Ali serta `Aishah serta Para Sahabah seluruhnya", bukan Hizbullah yang disebut-sebut sekarang" ~ Fathi Al-Sakandary ~ |
|
| Back to top |
|
|
abong


Joined: Jun 28, 2008 Posts: 508 Location: Kuantan-Kuala Terengganu-KL-Langkawi
|
Post subject: Re: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Wed Aug 12, 2009 8:57 pm |
|
jazakallahu khairan syeikh...
seronok juga baca info2 macam ni....
alhamdulillah...
moga Allah mudahkan dan berkati enta dan kita semua
_________________ Orang yang terbaik dikalangan kita adalah yang paling baik dengan ahli keluarganya. Maka aku ingin berbuat baik dengan ahli keluargaku. Amiin |
|
| Back to top |
|
|
Adli_Khalim


Joined: Mar 06, 2009 Posts: 3927 Location: Jakarta Barat
|
Post subject: Re: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Wed Aug 12, 2009 9:20 pm |
|
| FATHI wrote: |
antara contoh dalam Sunan al-Sughra (a.k.a al-Mujtaba):
hadeeth:
من مس ذكره فلا يصلي حتى يتوضأ
sape2 yg pgg kemaluan, jgn ler solat sebelum pi ambik wudhu (semula)
kata an-Nasaie:
فيه هشام بن عروة لم يسمع من أبيه هذا الحديث
pada sanad hadith ni ada Hisyam b. 'Urwah, dan dia actually x dgr hadith ni dari ayahnya (maknanya sanad putus, ia dhaif disisi an-Nasaie) |
Dah jumpa hadits ni,
|
|
| Back to top |
|
|
mubtadi


Joined: Nov 30, 2009 Posts: 88 Location: Shah Alam
|
Post subject: Re: Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya Posted: Thu Dec 03, 2009 6:01 pm |
|
| FATHI wrote: |
Pengenalan kepada Sunan at-Tirmizi & Manhajnya
الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم ,أما بعد
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian Alam, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad, juga kepada keluarganya serta para sahabatnya.
Amma b'ad
5.2) Jenis 2
Apabila Imam at-Tirmzi (rahimahullah) berkata: حَدِيثٌ حَسَنٌ - ''hadis Hasan''
Apabila Imam at-Tirmizi ingin menyatakan kedhaifan pada hadis itu, beliau menggunakan istilah ''Hadis Hasan''. Sesetengah pihak tertipu dengan istilah ini dan menyangka bahawa maksud istilah ''Hasan'' oleh Imam at-Tirmizi adalah sama seperti yang biasa difahami umum (dalam Mustolah Hadis), akan tetapi ianya tidak begitu.
Apabila Imam at-Tirmizi menggunakan istilah ''Hasan'', yang dimaksudkan oleh beliau ialah hadis itu Dhaif dan Tidak Sahih. Berikut adalah bukti untuk pernyataan ini:
1- Imam at-Tirmizi sendiri menerangkan hal ini dalam buku 'Ilal beliau: ''apabila kami sebutkan dalam Kitab ini sesuatu hadis itu sebagai ''Hadis Hasan'', maka apa yang dimaksudkan kami ialah ianya baik (hasan) dari segi sanadnya yang nampak kepada kami, iaitu mana – mana hadis yang tidak terdapat dalamnya perawi yang bertaraf disyaki berdusta, dan juga hadis itu tidak syaz''.
|
إلى المحترم الاستاذ
وعلى نظري القصير لا يتضح عندي أن ما ذكره الإمام الترمذي رحمه الله تعالى حديث حسن فهو ضعيف عنده بل ما يفهم من قول الإمام الترمذي وتعريف الحسن عنده أنه حسن عنده باصطلاحته الخاصة.
وها هنا نقلت تعريف الحسن للإمام الترمذي رحمه الله تعالى في اللعلل الصغير فتأمل
وما ذكر الاستاذ ولا الشيخ تعريف الإمام الترمذي بتمامه
العلل الصغير للترمذي - (ج 1 / ص 758)
قال أبو عيسى وما ذكرنا في هذا الكتاب حديث حسن فإنما أردنا به حسن إسناده عندنا كل حديث يروى لا يكون في إسناده من يتهم بالكذب ولا يكون الحديث شاذا ويروى من غير وجه نحو ذاك فهو عندنا حديث حسن
وانظر إلى خلاصة الحافظ رحمه الله تعالى في نكته:
النكت على كتاب ابن الصلاح - (ج 1 / ص 387)
وليس هو في التحقيق عند الترمذي مقصورا على رواية المستور، بل يشترك معه الضعيف بسبب سوء الحفظ والموصوف بالغلط والخطأ وحديث المختلط بعد اختلاطه والمدلس إذا عنعن وما في إسناده انقطاع خفيف،
فكل ذلك عنده من قبيل الحسن ... انتهى كلام الحافظ في نكته
_________________
طالب العلم وخادمه
عبد الله المبتدي الشافعي
اللهم صل على سيدنا محمد وآله وسلم
والحمد لله رب العالمين
|
|
| Back to top |
|
|
|
|
All times are GMT + 8 HoursGo to page 1, 2, 3, 4 Next
You cannot post new topics in this forum You cannot reply to topics in this forum You cannot edit your posts in this forum You cannot delete your posts in this forum You cannot vote in polls in this forum You cannot attach files in this forum You cannot download files in this forum
|
Hadith Today |
Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan ALLAH
-- HR. Bukhari dan al-Nasai |
Pautan Pilihan |
|
|
Main Menu |
Home Community Members options Forums Search Web Affiliates |
Top Posters |
|
|